Tuesday, 23 August 2016

TOPIK 3 : INTONASI


1.0            Pengenalan

Dalam tajuk ini, pelajar akan diperkenalkan dengan aspek intonasi dalam bahasa Melayu.  Untuk menguasai aspek intonasi ini, pelajar akan dibawa untuk memahami empat jenis ayat iaitu ayat penyata, ayat tanya, ayat perintah dan ayat seruan.

2.0            Hasil Pembelajaran

Di akhir pengajian, pelajar akan:

2.1            Mendapat kemahiran untuk mengenalpasti intonasi dalam sesuatu ayat.
2.2            Boleh membezakan intonasi dalam sesuatu ayat.
2.3            Berkemampuan menggunakan intonasi yang betul dalam pertuturan.

3.0            Senarai Tajuk

3.1            Intonasi dalam ayat
3.2            Ayat penyata
3.3            Ayat tanya
3.4            Ayat perintah
3.5            Ayat seruan

4.0            Istilah

4.1 Intonasi
Intonasi ialah nada turun naik dalam sesuatu ayat. Intonasi berbeza-beza mengikut jenis-jenis ayat yang digunakan. Intonasi yang betul boleh membezakan maksud dan objek dalam sesuatu pengucapan.

4.2 Ayat Penyata
          Ayat yang membuat pernyataan atau keterangan.

4.3 Ayat Tanya
Ayat yang digunakan untuk bertanyakan sesuatu dan mengharapkan jawapan.

4.4 Ayat Perintah
          Ayat yang menyuruh atau memerintah

4.5 Ayat Seruan
          Ayat yang menyatakan emosi atau perasaan

5.0            Tajuk

5.1            Intonasi dalam ayat

5.1.1    Persembahan

Intonasi ialah naik turun nada dalam pengucapan. Dalam bahasa Melayu, nada pengucapan mempunyai naik turun mengikut jenis-jenis ayat.

Intonasi pengucapan dengan jelas dapat dilihat melalui ayat-ayat berikut:
1.     Ayat Penyata
2.     Ayat Tanya
3.     Ayat Perintah, dan
4.     Ayat Seruan

Dalam bahasa penulisan, intonasi digambarkan dengan penggunaan tanda baca Tanya (?) atau seruan (!) atau kedua-duanya sekali.

Aspek intonasi penting dalam pengucapan kerana boleh memberi mesej yang lebih jelas tentang tujuan pengucapan dibuat. Contohnya apabila memarahi orang, mesej yang ingin disampaikan ialah perasaan marah. Oleh itu intonasi tinggi atau keras digunakan.

Apabila ingin memujuk seseorang, intonasi rendah pula yang digunakan. Ini kerana memujuk orang perlu dengan nada lembut (iaitu nada rendah) dan bukan nada tinggi. Memujuk dengan nada tinggi akan menggambarkan unsur paksaan.

5.1.2    Aktiviti

Bina ayat-ayat yang menggunakan nada rendah, nada menaik, nada menurun dan nada tinggi.

5.2            Ayat Penyata

5.2.1    Persembahan

Ayat penyata ialah ayat yang diucapkan dengan maksud membuat sesuatu pernyataan atau memberi keterangan tentang sesuatu hal. Ayat penyata berakhir dengan tanda nokhtah (.). Nada rendah digunakan dalam ayat-ayat penyata. Tiada ada penegasan nada atau nada tinggi dalam penggunaan ayat penyata. Tujuan ayat penyata ialah utuk memberi keterangan.

Contoh:
1.     Kakak saya sedang tidur.
2.     Emak saya pergi ke kedai.
3.     Dia sedang memetik bunga di taman.
4.     Bola itu berwarna biru.
5.     Har ini hari Khamis.

Dalam ayat-ayat di atas, nada yang digunakan adalah nada mendatar.

5.2.2    Aktiviti

Bina 15 ayat penyata. Baca semua ayat tersebut dalam nada yang rendah.


5.3            Ayat Tanya

5.3.1    Persembahan

Ayat tanya ialah ayat yang digunakan untuk bertanyakan sesuatu atau bertanyakan seseorang. Ayat tanya disertai dengan tanda tanya (?). Tujuan ayat tanya ialah untuk mendapat sesuatu jawapan.

Ayat tanya mempunyai nada tinggi.

Ayat tanya terbahagi dua iaitu ayat tanya terbuka dan ayat tanya tertutup.

(a) Ayat Tanya Terbuka ialah ayat tanya yang memerlukan jawapan yang berupa penerangan. Ayat tanya mempunyai kata tanya (apakah, siapakah) sama ada di pangkal ayat atau di hujung ayat.

Contoh:
1.     Apakah yang dibeli oleh emak?
2.     Kamu ini siapa?
3.     Siapakah lelaki yang memakai topi itu?
4.     Warna manakah pilihan anda?
5.     Apakah yang menyusahkan hatimu?

(b) Ayat Tanya Tertutup ialah ayat tanya yang meminta jawapan yang tegas dan tepat iaitu sama ada ‘ya/benar’ atau ‘tidak/bukan’

Contoh:
1.     Kamu mahu pergi atau tidak?
2.     Sudah siap atau belum?
3.     Setuju?

5.3.2    Aktiviti
Bina 10 Ayat Tanya dan kemudian baca ayat-ayat tersebut dengan nada menaik.

5.4            Ayat Perintah

5.4.1    Persembahan

Ayat perintah ialah ayat yang digunakan untuk menyuruh atau memerintah seseorang supaya melakukan sesuatu. Ayat perintah mempunyai nada tinggi dan tegas bergantung kepada jenis ayat perintah berkenaan.

Terdapat empat jenis ayat perintah iaitu:

(a)  Ayat Suruhan
(b)  Ayat Larangan
(c)   Ayat Silaan, dan
(d)  Ayat Permintaan


(a) Ayat Suruhan ialah ayat yang dituturkan dengan motif untuk memberi perintah atau menyuruh orang berbuat sesuatu. Ayat Suruhan mempunyai nada tinggi dan tegas.

Contoh:
1.     Basuh baju ini!
2.     Pergi kau dari sini!
3.     Balik sekarang!

(b) Ayat Larangan ialah ayat perintah yang melarang orang melakukan suatu. Perintah yang diberikan adalah perintah untuk tidak melakukan sesuatu. Ayat ini juga mempunyai nada tinggi dan tegas jika larangan tersebut bersifat paksaan, dan bernada rendah jika larangan tersebut berbentuk rayuan atau keluhan.

Contoh:
1.     Jangan kacau aku! (nada tinggi)
2.     Usah dikenang peristiwa lalu (nada rendah)
3.     Kau jangan datang lagi (nada tinggi)

(c) Ayat Silaan ialah perintah yang tidak mempunyai ketegasan sebaliknya bersifat rayuan dan pelawaan. Nada rendah digunakan untuk ayat jenis ini.

Contoh:
1.     Silalah masuk.
2.     Sudi apalah kiranya datang ke rumahku.
3.     Jemputlah makan.

(d) Ayat permintaan juga tidak bersifat tegas. Oleh kerana orang yang menuturkan ayat ini ingin meminta sesuatu maka nada yang digunakan adalah nada rendah tanpa ketegasan.

Contoh:
1.     Semua harap bertenang!
2.     Tolong kemaskan meja ini.
3.     Harap dapat segerakan tugasan itu.

5.4.2    Aktiviti

Bina 10 Ayat Perintah dan kemudian baca ayat-ayat tersebut dengan nada yang sesuai.

5.5            Ayat Seruan

5.5.1    Persembahan

Ayat seruan ialah ayat yang diucapkan dengan membawa nada atau intonasi seruan dengan tujuan untuk melahirkan gambaran tentang perasaan seperti takut, marah, geram, sakit, hairan dan yang seumpamanya. Intonasi seruan digambarkan dengan tanda baca seruan (!) pada hujung ayat.

Contoh:
1.     Wah, sungguh cantik rumahmu!
2.     Syabas, kita berjaya!
3.     Amboi, marahnya dia!

5.5.2    Aktiviti

Bina 10 Ayat Seruan dan kemudian baca ayat-ayat tersebut dengan penuh emosi yang mengukuhkan penyampaian maksudnya.



6.0            Ringkasan

6.1            Intonasi ialah nada naik turun dalam pengucapan.
6.2            Tujuan intonasi adalah untuk mengukuhkan lagi penyampaian maksud ayat di samping mengindahkan gaya pengucapan.
6.3            Pola-pola intonasi dalam ayat boleh dilihat melalui penggunaan Ayat Penyata, Ayat Tanya, Ayat Perintah dan Ayat Seruan.
6.4            Ayat Penyata dinyatakan dalam nada yang rendah dan mendatar.
6.5            Ayat Tanya diucapkan dengan nada menaik. Tidak mendatar seperti mengucapkan Ayat Penyata.

6.6            Ayat Perintah mempunyai nada yang tinggi kecuali dalam mengucapkan Ayat Perintah jenis silaan.

No comments:

Post a Comment